𝗨𝗣𝗠 𝗦𝘂𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴 𝗞𝗲𝗽𝗮𝗸𝗮𝗿𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗻𝘀𝗶𝗷𝗶𝗹𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗹𝗮𝗹 𝗸𝗲𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗞𝗼𝗺𝘂𝗻𝗶𝘁𝗶 | INSTITUT PENYELIDIKAN PRODUK HALAL
» BERITA » 𝗨𝗣𝗠 𝗦𝘂𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴 𝗞𝗲𝗽𝗮𝗸𝗮𝗿𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗻𝘀𝗶𝗷𝗶𝗹𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗹𝗮𝗹 𝗸𝗲𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗞𝗼𝗺𝘂𝗻𝗶𝘁𝗶

𝗨𝗣𝗠 𝗦𝘂𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴 𝗞𝗲𝗽𝗮𝗸𝗮𝗿𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗻𝘀𝗶𝗷𝗶𝗹𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗹𝗮𝗹 𝗸𝗲𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗞𝗼𝗺𝘂𝗻𝗶𝘁𝗶

KAMPUNG KEDA BAGAN NAKA, 6 Feb – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memainkan peranan dalam pemindahan ilmu dengan menyumbangkan kepakaran pensijilan halal kepada komuniti menerusi Bengkel Kesedaran Pensijilan Produk dan Pelabelan Produk Makanan yang bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan produk halal serta keselamatan makanan dalam kalangan pengusaha produk tempatan. Sumbangan ini sekali gus membuktikan keterlihatan UPM kepada institusi luar dan komuniti, selari dengan pelan strategik terbaharu universiti, True North UPM, yang menekankan impak, keterlibatan dan kelestarian hubungan universiti bersama masyarakat.
 
Program yang berlangsung pada 2 hingga 4 Februari 2026 di Koperasi Pembangunan Kampung Keda Bagan Naka Berhad (KPKKBNB) telah dianjurkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan melibatkan penyertaan pengusaha makanan setempat. Bengkel ini menampilkan Profesor Dr. Suhaimi Ab Rahman dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi serta Puan Roszaimah Muhammad Sapah dari Laboratori Penyelidikan Sains Halal, Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), UPM.
 
Menurut Profesor Dr. Suhaimi Ab Rahman, kefahaman terhadap pensijilan halal bukan sahaja penting dari sudut pematuhan perundangan, malah menjadi elemen strategik dalam meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk usahawan tempatan.
Sementara itu, Puan Roszaimah berkata, usahawan perlu memahami sepenuhnya erti produk halal bagi memastikan pematuhan kepada semua piawaian pensijilan halal, sekali gus menjamin penghasilan produk yang selamat, berkualiti dan mampu mengekalkan keyakinan pengguna.
Sesi lawatan ke premis perniagaan sekitar Kampung Keda Bagan Naka turut diadakan bagi memberi pendedahan secara langsung kepada peserta mengenai pelaksanaan logo halal, pematuhan standard kebersihan serta amalan operasi yang selamat di peringkat sebenar.
 
“Bengkel ini sangat bermanfaat kerana memberi kefahaman yang jelas tentang cara memohon sijil halal sama ada untuk produk atau premis makanan. Saya berharap program seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang,” kata En. Muhammad Izzat, salah seorang peserta program ketika ditemu bual.

Tarikh Input: 09/02/2026 | Kemaskini: 09/02/2026 | hafizahlatip

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENYELIDIKAN PRODUK HALAL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691426
0389439745
F, (07:41:52pm-07:46:52pm, 09 Mar 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]