Bengkel Future-Ready Beauty Perkukuh Inovasi Kosmetik Halal, Semula Jadi Dan Selamat | INSTITUT PENYELIDIKAN PRODUK HALAL halal
» BERITA » Bengkel Future-Ready Beauty Perkukuh Inovasi Kosmetik Halal, Semula Jadi dan Selamat

Bengkel Future-Ready Beauty Perkukuh Inovasi Kosmetik Halal, Semula Jadi dan Selamat

Serdang, 5 Februari 2026 – Sebuah bengkel bertajuk Future-Ready Beauty: Halal, Natural & Safe Innovations telah berjaya dianjurkan pada 5 Februari 2026 bertempat di Laboratori Penyelidikan Sains Halal (LAPSAH), Universiti Putra Malaysia (UPM). Bengkel ini merupakan anjuran bersama LAPSAH dan IKA Works (Asia) Sdn. Bhd., dengan kerjasama strategik Innovacos Corp serta Aromatic Fine Chemicals Sdn. Bhd.

Bengkel selama satu hari ini bertujuan memperkukuh kefahaman serta amalan industri kosmetik ke arah pembangunan produk yang halal, toyyib, semula jadi dan selamat, selari dengan keperluan pasaran semasa. Program ini dibahagikan kepada dua sesi, iaitu sesi perkongsian ilmu pada waktu pagi dan sesi praktikal pada sebelah petang.

Sesi pagi menampilkan barisan penceramah berpengalaman daripada institusi akademik dan industri, antaranya Prof. Ir. Dr. Yus Aniza Yusof, Timbalan Pengarah, Institut Penyelidikan Produk Halal UPM yang membentangkan topik Beyond Halal Compliance: Building Toyyib & Safe Cosmetic Products through IPPH Expertise. Turut serta ialah Encik Ker Hong Ting, Business Development Manager (Malaysia & Singapore), Aromatic Fine Chemicals Sdn. Bhd.; Cik Sak Mei Huey, Technical Sales Executive (Southeast Asia & Taiwan), Innovacos Corp; serta Dr. Choon Si Lin, Sales Specialist, IKA Works (Asia) Sdn. Bhd., yang masing-masing berkongsi kepakaran dalam bidang bahan mentah, formulasi dan teknologi kosmetik.

Sesi petang pula memberi tumpuan kepada aktiviti hands-on menerusi sesi praktikal bertajuk Penghasilan Emulsi Penjagaan Kulit yang Bersih dan Semula Jadi, di mana para peserta berpeluang mempelajari secara langsung teknik asas penyediaan formulasi kosmetik.

Bengkel ini menerima sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 60 orang peserta, terdiri daripada wakil industri serta warga UPM. Maklum balas yang diterima menunjukkan tahap kepuasan yang tinggi dalam kalangan peserta terhadap pengisian dan pelaksanaan program.

Menurut Dr. Farah Izana Abdullah, Pengarah Bengkel, penganjuran ini diharap dapat menjadi platform pemerkasaan ilmu dan jaringan kerjasama antara pihak akademia dan industri, sekali gus menyokong pembangunan inovasi kosmetik yang mampan. Beliau turut menyatakan perancangan untuk menganjurkan siri bengkel susulan pada masa akan datang.

 

Tarikh Input: 09/02/2026 | Kemaskini: 13/05/2026 | hafizahlatip

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENYELIDIKAN PRODUK HALAL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691426
0389439745
X, (05:22:49am-05:27:49am, 25 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]