Program Pengajian | INSTITUT PENYELIDIKAN PRODUK HALAL
» AKADEMIK » PASCA SISWAZAH » Program Pengajian

Program Pengajian

 

SAINS PRODUK HALAL

Bidang pengajian ini memberi penumpuan terhadap penyelidikan dan inovasi teknik autentikasi dan pengesanan konstituen tak halal, kontaminan dan bahan toksik dalam produk makanan dan bukan makanan termasuk produk penjagaan kesihatan. Penyelidikan dan inovasi dalam bidang ini termasuk pengembangan metod pengesanan dengan menggunakan pelbagai teknik dan prosedur (kromatografi, spektroskopi, molekular biologi , nanoteknologi, proteomik, metabolomik, bioinformatik), aspek toyibban (jaminan kualiti) termasuk keselamatan, kesempurnaan, keberkesanan, khasiat makanan dan pemakanan, kesan kesihatan produk halal kepada pengguna, dan aspek pengeluaran pertanian meliputi pengurusan penyembelihan, pengurusan pembekalan berantai.

PEMBANGUNAN PRODUK HALAL

Bidang pengajian ini meliputi penyelidikan, pengembangan dan pengkomersilan produk dan proses yang memenuhi keperluan halal bagi industri makanan, farmaseutikal dan kosmetik. Bidang yang dirangkumi dalam program pengajian ini adalah membangunkan produk halal seperti hidrolisat asas-protein, enzim halal, pemprosesan daging dan produk daging. Pembangunan ramuan halal berasaskan lemak meliputi emulsi halal, gantian lemak dan minyak, lemak khas halal sementara pembangunan bahan bantu pemprosesan merupakan alternatif kepada penggunaan enzim babi dan penggantian kepada gelatin tak-halal dan hidrolisat protein. Antara produk yang akan dibangunkan dalam bidang ini termasuklah ramuan makanan halal, konfeksi dan bakeri halal, ramuan kosmetik halal, ramuan farmaseutikal halal, agen pemekat dan penstabil halal, warna dan pigmen halal, produk jagaan diri halal, farmaseutikal halal, haruman halal, vaksin dan ubat halal, kekulit halal, pembungkus halal, sensori halal, pemprosesan produk susu halal, produk fermentasi, dan teknologi penghasilan etanol.

PENGURUSAN PRODUK HALAL

Bidang pengajian ini memberi tumpuan terhadap aspek pengurusan dan perniagaan produk halal. Isu-isu yang terlibat termasuklah pengurusan strategi (produk halal), pengurusan operasi (produk halal), pengurusan kualiti (produk halal), pengurusan logistik (produk halal), pengurusan perniagaan antarabangsa (produk halal), strategi pemasaran (produk halal), pemasaran antarabangsa (produk halal), pengurusan promosi (produk halal), gelagat pengguna (produk halal) dan pelancongan dan hospitaliti (perspektif Islam). Kelainan bidang pengajian ini berbanding dengan bidang pengajian pengurusan biasa ialah ia bukan sahaja memberi penekanan kepada aspek pengurusan produk halal tetapi juga pemakaian prinsip-prinsip syariah.

SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG HALAL

Bidang pengajian ini memberi tumpuan terhadap pembangunan serta isu-isu semasa undang-undang produk halal. Ini termasuklah pembangunan undang-undang produk halal, perkembangan fiqh dan usul, pengurusan fatwa halal, perkembangan prinsip undang-undang Islam, sistem dan pentadbiran undang-undang Islam, undang-undang perdagangan antarabangsa, undang-undang perlindungan pengguna, dan undang-undang liabiliti serta keselamatan produk. Kelainan bidang pengajian ini berbanding bidang pengajian undang-undang lain ialah ia bukan sahaja memberi penekanan kepada kesucian produk halal tetapi juga pemakaian prinsip undang-undang Islam di dalam perniagaan moden

 

Kemaskini:: 09/05/2024 [salehan]

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENYELIDIKAN PRODUK HALAL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691426
0389439745
S, (07:51:49am-07:56:49am, 10 Mar 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]