Background Of IPPH | HALAL PRODUCTS RESEARCH INSTITUTE
» ABOUT US » HPRI History » Background of IPPH

Background of IPPH




Penubuhan Institut Makanan Halal sebagai pusat penyelidikan halal adalah salah satu langkah proaktif UPM untuk meletakkan UPM sebagai peneraju pusat kecemerlangan pendidikan pertanian negara. Cadangan penubuhan ini telah dikemukakan kepada pihak pengurusan Universiti pada 2003 dan telah diluluskan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti ke-110 pada 26 dan 31 Mac 2003. Walaubagaimanapun, penubuhan institut ini tidak dapat dilaksanakan kerana masalah kewangan universiti pada ketika itu. Oleh yang demikian, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan telah mengambil inisiatif bagi menubuhkan Unit Makanan Halal pada bulan Jun 2003.

Pada bulan Ogos 2004, Unit Makanan Halal dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)  telah menganjurkan “Bengkel Pembangunan Hab Halal Global Malaysia” bersempena dengan 1st Malaysian International Halal Showcase (MIHAS) 2004. Resolusi dari bengkel tersebut bertajuk “Cadangan Pembangunan Hab Makanan Halal Global Malaysia” telah disampaikan kepada Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia oleh Y.Bhg. Naib Canselor UPM di perasmian MIHAS 2004  pada 16 Ogos 2004. Berikutan dengan perkembangan itu, Kementerian Pendidikan Tinggi telah meluluskan dan bersetuju agar UPM menjadi peneraju pusat pendidikan pertanian negara pada 30 Ogos 2004. Bagi menyokong usaha ini, UPM telah mencadangkan penubuhan Institut Makanan Halal dan telah mendapat kelulusan dari Kementerian Pengajian Tinggi pada 1 Jun 2005. Inisiatif ini dilaksanakan bagi membantu Malaysia merealisasikan hasrat untuk muncul sebagai hab makanan halal global.

Berikutan perubahan dasar pentadbiran UPM, beberapa bengkel halatuju telah diadakan bagi menangani isu-isu berkaitan RMK9 serta mengukuhkan kedudukan UPM sebagai universiti penyelidikan. Bagi meningkatkan kecemerlangan penyelidikan, UPM telah mengadakan bengkel halatuju pada 25 – 27 Mei 2006 dan telah menetapkan lapan bidang tumpuan penyelidikan universiti dan Produk Halal telah diletakkan sebagai salah satu daripada bidang tumpuan tersebut.

Oleh yang demikian, pada 1 Julai 2006, setelah UPM melaksanakan perubahan dasarnya, nama Institut Makanan Halal  (IMH) telah ditukar kepada Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH). Perubahan ini adalah bagi meluaskan skop penyelidikan IPPH melampaui skop makanan dan meletakkan beberapa skop penyelidikan baru iaitu barang gunaan orang Islam dan perniagaan Islam. Penubuhan Institut Penyelidikan Produk  Halal adalah berperanan sebagai pusat sehenti atau ‘one-stop centre' melalui pendekatan menyeluruh, seimbang dan ‘multifaceted' bagi mengkaji segala aspek produk halal pada peringkat kebangsaan dan global.

IPPH berhasrat menjadi pusat kecemerlangan penyelidikan produk halal, disamping menyediakan perkhidmatan profesional bagi merealisasikan hasrat negara dalam memajukan bidang pertanian dan menjadikan Malaysia sebagai Hab Halal Global.

 

Save

Updated:: 21/04/2017 [salehan]

MEDIA SHARING

HALAL PRODUCTS RESEARCH INSTITUTE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389471426
0389439745
C1506462092